TERIMA KASIH SEMUA PELAJAR
SALAM. Diam tak diam tibalah saat kelas tutorial berakhir. Hari ini, 17 April 2009 cikgu sedang bertungkus lumus menyemak buku log dan menonton CD para pelajar (kaunseling individu).
Rindu pula rasanya apabila melihat gambar cikgu bersama para pelajar kelas kemahiran kaunseling yang pelbagai keletah.
Perjalanan untuk menjadi seorang kaunselor cemerlang tidak semudah ABC. Perjalanan mencaknakan diri bermula seawal anda melangkahkan kaki ke kampus ibu kandung ini. Sekarang anda sudahpun mengakhiri Semester 2. Nah...tak lama lagi, Semester 3. Begitulah seterusnya masa berlalu hingga tanpa sedar, anda sudahpun menamatkan pengajian dan bakal bergelar kaunselor di sekolah.
Sudahkah anda betah hendak menjadi kaunselor? Sudahkah anda bersedia menghadapi rencah-rencah kehidupan anak-anak didik di sekolah yang pelbagai ragamnya? Berdasarkan pengalaman cikgu, kebanyakan pelajar di kelas bersedia nampaknya untuk membina diri, dari segi kemahiran dan jati diri sebagai kaunselor. Datang awal ke kelas, proaktif menghantar tugasan, bersedia menjadi klien/kaunselor tanpa disuruh, dan rajin bertanya soalan.
Namun cikgu lihat ada juga yang masih belum bersedia. Lewat datang ke kelas, lewat menghantar tugasan, hendak dipaksa-paksa baru menjalankan sesi dan kurang aktif di kelas. Seandainya sikap ini terbawa-bawa hingga bekerja, bayangkan bagaimanakah anda hendak menyesuaikan diri; lebih-lebih lagi harus berhadapan pula dengan Pengetua yang tegas dan tugasan yang bertimbun?
Walau apapun keseluruhannya semua pelajar cikgu adalah hebat dan berpotensi luar biasa. Tahniah kepada semua dan terima kasih sudi memberi kerjasama sepanjang cikgu mengajar sampai rela duduk atas lantai di luar makmal apabila makmal berkunci! Maafkan cikgu andai ada salah silap dan jangan jadikan berakhirnya tutorial bermakna berakhirnya hubungan kita - kalian tetap anak didik saya yang hebat. Hubungi cikgu melalui emel, ym, sms, mms malah bersemuka jika perlu untuk mendapatkan apa jua bimbingan ke arah kaunselor yang kompeten.
Sekian, selamat mendaki ke puncak kecemerlangan dan bagi yang belum menghantar tugasan, tarikh tutup adalah 20 April dan selepas itu....cikgu tak boleh membantu apa-apa kerana markah akan diserahkan kepada Pn Habsah pada 20.4.09.
0 comments:
Post a Comment