Tips
Oleh Esa Abd Samad
NAMPAKNYA peperiksaan-peperiksaan penting mula melanda kita dan menyelubungi emosi anak-anak kita. Tidak lama lagi, UPSR. Kemudian selepas Hari Raya Aidil Fitri, peperiksaan PMR pula bakal menjengah. Tidak lama selepas itu, SPM dan STPM pula akan mengambil tempat. Apakah peranan kita selaku ibu bapa? Haruskah kita sekadar membiarkan anak-anak kita mengharungi peperiksaan seolah-olah tiada apa yang berlaku? Atau haruskah kita menjadi terlalu risau dan bimbang seolah-olah anak kita bakal dihantar berperang di bumi berdarah Palestin? Sesungguhnya bak kata Nabi s.a.w., sebaik-baik perkara adalah pertengahan. Jangan langsung tak risau, tapi jangan pula terlampau risau. Apapun kita harus memastikan mood emosi kita berada pada aras yang dianggap anak sebagai MEMAHAMI MEREKA. Berikut adalah beberapa tips unuk anda membimbing anak-anak yang bakal menghadapi peperiksaan: PASTIKAN anda memahami PERASAAN anak yang bakal bertarung dengan perjuangan yang menentukan masa hadapannya. Anak yang bakal menghadpi peperiksaan, pada saat-saat terakhir begini kekadang macam orang terkena histeria. Mereka mudah panas baran, mengamuk tak tentu pasal, marah-marah dan sebagainya. Musim mengawan anak-anak ini berlaku pada bulan Ogos hinggalah Disember. Janganlah lawan api yang sedang membara di hati anak-anak. Andai mereka sesekali melepaskan geram, biarkan saja. Ketika mereka tenang, ajaklah anak anda bersolat tahajud, pohon keampunan dan bermunajat kepada Tuhan dan bisikkan di hati mereka; ayah dan ibu sekadar mengharap anak melakukan yang terbaik; selebihnya serahkan pada Illahi. Bisikkan di hati anak anda, peperiksaan bukan segala-galanya tapi jangan sampai tidak bersedia. POSITIFKAN jiwa dan minda anak-anak anda. Anak-anak anda perlukan suntikan keyakinan kala ini. Ada kala mereka mungkin pernah gagal, ada kala mereka mungkin putus harap sudah hendak menjawab soalan latih tubi Matematik, ada kala mereka rasa rendah diri. Titipkan anak-anak anda dengan kata-kata motivasi dan ceritakan bahawa ramai manusia berjaya di dunia ini selepas menemui kegagalan. Misalnya, Michael Phelps, seorang budak hiperaktif dan dibenci gurunya tapi berjaya menggondol lapan pingat emas dalam Sukan Olimpik. Bantulah anak anda mengenal pasti dan menganalisis kelemahan dirinya. Ajar dia jika mampu dan jika tidak carikan guru tuisyen yang boleh mengajar di rumah. Galakkan anak anda menjalani latih tubi menjelang peperiksaan. Bisikkan di hatinya, semakin banyak latihan, semakin yakin diri anda. Bisikkan di hatinya peri penting mendapatkan bimbingan guru.Anda juga boleh membimbing anak-anak menjelang peperiksaan dengan dengan melafazkan kata-kata positif sebagai dorongan, bukan berbentuk pasif dan bukan bermula dengan JANGAN. Misalnya, JANGAN melepak. Gantikan JANGAN melepak kepada rebutlah masa awak…sebelum direnggut.
0 comments:
Post a Comment