MENYOAL DAN MENEROKA DALAM SESI KAUNSELING
SESEORANG yang sedang dirundung malang, ditimpa masalah dan berjumpa kaunselor biasanya mengalami 'blind spot' yang perlu dileraikan oleh kaunselor. Menurut Egan (2002; 27), antara langkah kaunselor dalam sesi adalah membantu mereka meleraikan blind spots yang menghalang mereka daripada melihat ke dalam diri, masalah sebenar mereka dan peluang mereka yang tidak terungkai. Ivey (2000) pula mengklasifikasikannya sebagai aset.
Kaunselor menggunakan teknik menyoal untuk menerokai maklumat lanjut, mendapatkan kepastian (Halimatun & Mizan: 1996). Egan (2002: 121) menjelaskan dua prinsip utama dalam menyoal :
1. Bataskan pertanyaan anda
Jangan menjadi seperti Pegawai Polis yang menyiasat sesuatu kes hingga anda bertanya dan terus bertanya seolah-olah mendesak klien untuk terus bercerita. Tindakan ini hanya akan menyebabkan klien berasa terdesak dan bosan dengan sesi kaunseling. Misalnya seorang pelajar yang terlibat dalam kes buli dan dipanggil ke dalam bilik kaunseling; anda terus menanyai klien dengan soalan-soalan seperti berikut:
Apakah perasaan awak terlibat dalam membuli pelajar?
Pernah tak awak menilai sedalam-dalamnya kesan membuli orang lain?
Tahu tak awak akibat tindakan membuli di sisi undang-undang dan sekolah?
Kalau beginilah sikap kaunselor alamatnya keesokannya klien anda tidak akan berjumpa anda lagi. Silap-silap dia terus meninggalkan sekolah.
Ini bererti terokai klien sedikit demi sedikit. Tanya sedikit demi sedikit bagi menggalakkannya untuk terus bercakap.
Misalnya teliti dialog antara kaunselor-klien seperti berikut:
Klien : Saya betul-betul bingung sekarang. Mak dan ayah hari-hari bertengkar dan terus bertengkar, tak pernahpun ambil peduli tentang saya; hidup ke mati ke sayani...dalam masa yang sama saya perlu terus tinggal bersama mereka. Itulah...ikut hati nak lari aje, tapi sayang pula saya punya 'study' kat sekolah ni.
Kaunselor : Nadia benar-benar kebingungan sekarang...(Parafrasa)
Klien : Yalah...mana tak bingung, orang lain ada ibu bapa juga tapi tak adalah asyik nak bergaduh, ambil peduli juga tentang anak mereka......(mula menangis teresak-esak)
Kaunselor: Hmm...cikgu dapat rasakan Nadia bukan saja bingung tapi sedih dengan situasi ini, bukan? (Refleksi perasaan dan pertanyaan tertutup)
Klien : (Senyap dan terus menangis teresak-esak)
Kaunselor: (Selepas beberapa ketika). Ok....Nadia benar-benar bingung dan sedih sekarang. Hmm...mungkin Nadia boleh jelaskan lagi apa agaknya yang benar-benar membingungkan awak? (Soalan terbuka)
Klien : Yalah cikgu...Nadia bingunglah cikgu. Bingung dalam membuat pilihan antara nak terus tinggal dengan mak dan ayah yang tak pedulikan Nadia atau lari saja dari rumah!!
Kaunselor : Cikgu dengar Nadia benar-benar kecewa dengan sikap mak dan ayah. Tadi Nadia ada menyatakan mereka bergaduh setiap hari, tidak ambil peduli terhadap Nadia...tapi mungkin Nadia boleh jelaskan lagi kerana cikgu belum betul-betul mengerti apa agaknya yang membuatkan Nadia kecewa terhadap mereka (Pertanyaan terbuka)
Klien : Iyalah...pertamanya mereka sibuk sangat bekerja dan terus bekerja. Kemudian balik ke rumah ada saja dipertengkarkan tentang masalah duitlah, rumah bersepahlah, siapa nak bayar bil dan macam-macam lagi. Pendek kata kalau mereka tak bertengkar, tak sah....sepatutnya mereka tanyalah Nadia dah makan ke....kerja rumah Nadia dah buatke...apake...dahlah Nadiani anak tunggal! Bagi Nadia, sikap diorang ni sikap tak ambil pedulilah....tak sayanglah kat anak!
Sengaja cikgu meleretkan dialog panjang ini agar anda semua mengerti cara hendak menggunakan soalan dalam sesi kaunseling. Jelasnya anda tidak perlu bertanya bertubi-tubi tetapi pola soalan adalah menjurus kepada menggalakkan klien terus bercerita.
2. Galakkan soalan terbuka
Soalan terbuka adalah soalan yang memerlukan jawapan lebih daripada satu perkataan. Soalan tertutup pula mengehadkan jawapan kepada satu atau beberapa perkataan sahaja dan memberikan maklumat khusus misalnya:
Kaunselor : Awak dah makan?
Klien : Ya.
Kaunselor : Awak tahu kenapa awak dihantar ke bilik kaunseling?
Klien : Tahu
Kaunselor : Awak dirujuk oleh Guru Disiplin kerana menghisap rokok dalam tandas, tahu tak?
Klien : Tahu
Kaunselor : Pukul berapa awak merokok?
Klien : 10.30 pagi.
Kaunselor : Dengan siapa awak merokok?
Klien : Dengan kawan-kawan.
Kaunselor : Siapa yang merokok bersama-sama awak?
Klien : (Mengangkat bahu) Entah cikgu...tak ingat.
Bolehkah anda bayangkan apakah akan terjadi dalam sesi kaunseling begini? Sudah tentu sesi ini akan menyebabkan klien tidak selesa, bosan dan mula berfikir 'bila lagi aku boleh angkat kaki.'
Soalan tertutup boleh ditanya tetapi hanya sesekali dan bukan bertubi-tubi. Gunakan soalan tertutup sekadar untuk mengesahkan maklumat dan teruskan dengan soalan terbuka. Perhatikan dialog berikut:
Klien : Saya tak bersalah cikgu. Saya cuma saksi sahaja dalam kes ini....
Kaunselor : Cikgu dengar Amir kata Amir tidak sepatutnya dipersalahkan...
Klien : Yalah cikgu, mana boleh saksi pula hendak didakwa dan dijatuhi hukuman. Ini tidak adil, cikgu!
Kaunselor : Amir rasa sekolah tidak adil, betul begitu? (Soalan tertutup)
Klien : Ya...tak adil sama sekali.
Kaunselor : Hmm...(mengangguk-angguk). Ok....boleh tak Amir ceritakan situasi sebenarnya...(soalan terbuka)
Nampak tak? Soalan tertutup hanyalah berperanan untuk mengesahkan maklumat dan anda harus menyusuli dengan soalan terbuka.
Selain berfungsi sebagai alat penerokaan, bagi menggalakkan klien bercerita, kaunselor juga boleh menggunakan soalan untuk membuat pengesahan (clarification), menyemak persepsi dan konfrontasi. Dari sudut pengesahan dan persepsi rasanya dalam dialog di ataspun anda sudah dapat mengagaknya.
Dari sudut konfrontasi, kaunselor menggunakan soalan untuk mendapatkan pengesahan klien apabila wujud percanggahan antara apa yang dikatakan oleh klien dan apa yang dilakukannya (Halimatun dan Mizan: 1996). Begitu juga jika pada satu ketika, dia bercakap begitu dan pada ketika lain, bercakap begini pula (asyik bercanggah idea). Namun pastikan konfrontasi dilakukan ketika sudah wujud hubungan yang baik antara klien dan kaunselor.
Contoh konfrontiasi:
Kaunselor : Cikgu berasa agak keliru dengan Nadia. Tadi kata bingung dan tak tahu lagi sama ada hendak terus tinggal di rumah atau lari saja dari rumah. Tapi Nadia menyatakan yang Nadia telah membuat perancangan hendak lari bersama boyfriend malamni...macamana tu?
Contoh lain (percanggahan idea dari masa ke masa):
Kaunselor: Tempoh hari Farid kata dah tak mahu berkawan lagi dengan Maya. Farid kata hubungan dah putus, cukup setakat itu saja. Tapi hari ini Farid ada membayangkan Farid rindu sangat kat Maya dan ingin kembali berkawan dengannya. Hmm...boleh Farid jelaskan perbezaan pandangan ni...
Klien : (terhenti sejenak)...Yalah cikgu, Farid memang tak boleh lupa kat Maya. Sebenarnya Farid terlalu sayangkan Maya dan tak mahu kami berpisah buat selama-lamanya.
Okay, sudahkah anda jelas tentang teknik dan kepentingan menyoal dalam kaunseling? Harap kita boleh praktis di kelas....
0 comments:
Post a Comment