KAUNSELOR KOMPETEN (6) - RUMPUN KEMAHIRAN MENDENGAR
FIRMAN ALlah dalam Surah Taha ayat 114 bermaksud:
"Maka Maha Tinggilah Allah, Yang Menguasai seluruh alam lagi Yang Benar (pada segala-galanya). Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) tergesa-gesa membaca Al-Quran sebelum selesai dibacakan oleh Jibril kepadamu, dan berdoalah dengan berkata: Wahai Tuhan, tambahilah ilmuku."
Al-Imam Ibn Badis Al-Sanhaji menyatakan dalam tafsirannya mengenai ayat di atas, menyatakan bahawa hati tidak akan memperoleh apa-apa yang dipelajari sehingga lidah berhenti berkata-kata. Menurut riwayat, Nabi Muhammad s.a.w. bersungguh-sungguh menghafas wahyu yang diturunkan Allah dengan membacanya serentak dengan pembacaan Jibril. Atas sebab inilah Allah menurunkan ayat seperti di atas.
Demikian kemahiran mendengar diajar oleh Allah kepada RasulNya sejak lebih 1400 tahun dahulu. Kemahiran mendengar bukan sahaja berguna ketika sesi kaunseling malah ketika kita menghadapi temuduga, menghadapi konflik dan berkomunikasi dengan sesiapa jua, seperti ketika menghadiri kuliah di kelas.
Sebelum ini saya telah mengajar para pelajar asas kemahiran mendengar seperti kemahiran melayan, menggunakan kemahiran bukan lisan untuk menggalakkan penceritaan klien, parafrasa dan refleksi.
Antara yang mungkin masih sukar dikuasai adalah parafrasa. Saya perturunkan beberapa contoh lagi:
Contoh 1:
Klien : Saya tahu dia seorang yang baik hati, mengambil berat, bertimbang rasa dan baik sangat. Dia selalu menghubungi saya dan saya berasa seronok dengannya.
Kaunselor: O...jadi Milah memang menyukainya.
Klien : Ya...saya menyukainya.
Contoh 2:
Klien : Saya bingung dengan sikap Dr Amin. Semalam dia suruh saya rujuk buku tu, hari ini dia kata tak payah rujuk, rujuk bukuni pula.
Kaunselor : Dr Amin benar-benar membingungkan Ansali
Klien : Ya...saya memang jadi keliru.
Jangan lupa ya, membuat penstrukturan setelah anda menggalakkan klien bercerita. Misalnya dialog berikut:
Kaunselor : Baiklah dalam sesi ini, peranan saya adalah sebagai kaunselor, anda pula klien. Sesi ini akan mengambil masa lebih kurang 45 minit. Peranan saya secara ringkasnya adalah untuk mendengar, memahami dan cuba membantu anda. Peranan anda pula adalah bercerita tentang apa-apa saja yang mengganggu anda. Sesi ini akan dirahsiakan selagi tidak mengancam keselamatan nyawa anda atau melanggari undang-undang.
Minggu hadapan cikgu akan berkongsi pandangan tentang bagaimana hendak merumus, menyoal dan ingat kita akan menganjurkan latihan lebih intensif. Bersedia dengan pembacaan awal dan pasangan masing-masing. Salam.
0 comments:
Post a Comment