PETUA MENDIDIK ANAK: ANALISIS PERBANDINGAN PERSPEKTIF AL-GHAZALI DAN TERAPI KELUARGA ADLER (BAHAGIAN 1)
ANAK-ANAK adalah amanah suci daripada Allah kepada setiap ibu bapa. Dalam sebuah hadis sahih, Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud:
"Menurut Abu Hurairah r.a., Rasulullah telah menyatakan; setiap insan yang lahir ke dunia adalah fitrah (suci- sebagai Islam). Ibu bapanyalah yang bertanggungjawab memesongkan dirinya menjadi Yahudi, Nasrani ataupun Majusi." (Riwayat Bukhari).
Imam Al-Ghazali menyatakan anak-anak ibarat dan intan permata yang mentah (Aishah et. al.: 2000). Ibu bapalah yang memotong, membentuk, menggilap intan permata itu sehingga menjadi intan permata yang bergemerlapan, bercahaya di sisi Allah. Jelasnya ibu bapa yang berperanan menentukan pembinaan karakter anak-anak.
Alfred Adler pula, iaitu seorang psikiatris yang mengemukakan mazhab psikologi tersendiri berbanding gurunya, Sigmund Freud, mengemukakan idea betapa anak-anak meraih makna kehidupan melalui cara mereka dibesarkan sedari kecil (Bitter, 2009). Anak-anak akan belajar melihat sama ada dalam hidup ini mereka harus menjadi pendendam, serba tidak berupaya ataupun menjadi manusia bermotivasi berdasarkan cara mereka dibesarkan. Bagi Adler, ibu bapa haruslah menjadi pemimpin semulajadai dalam keluarga (Bitter, 2009).
Hal ini bermakna gagasan idea Adler tidaklah lari daripada manhaj Islam. Kedua-dua tokoh ini, Imam Al-Ghazali dan Adler sama-sama melihat peranan ibu bapa dalam membentuk karakter anak-anak.
Sebagai ibu bapa, kita semua sudah tentu mengingini anak-anak menjadi mulia, soleh, solehah dan cemerlang; tetapi malangnya ramai yang tidak tahu cara mencapai matlamat sehebat ini. Pertamanya, hal ini berlaku kerana ramai ibu bapa tidak mengetahui bagaimana personaliti terbentuk. Kedua, ibu bapa tidak memiliki nilai asas dalam membentuk karakter anak-anak.
Al-Ghazali dalam teorinya mengemukakan lima aspek utama dalam pendidikan kanak-kanak, dalam kitabnya Ihya' Ulumuddin (Mastura Badzi: 2008), iaitu:
1. Qudwah (Role model)
2. Mulahazah wa mutabah'ah (Observation and imitation)
3. I'tiyad (Kelaziman/Kebiasaan)
4. Al-Thawab wa'al iqab (Reward and punishment)
5. Nasihat (Advice)
Adler pula mengemukakan tiga konsep asas dalam pendidikan anak-anak dan peranan keluarga (Bitter, 2009):
1. Persekitaran keluarga (Family Atmosphere)
2. Susunan ahli keluarga (Family constellation)
3. Matlamat yang salah (Mistaken Goal)
Kedua-dua olahan konsep mereka ini sudah tentu menampakkan perbezaan tetapi masih ada sudut persamaan. Apa yang jelas kedua-duanya menitikberatkan hal yang sama, iaitu peranan ibu bapa dalam membentuk peribadi anak-anak.
Bersambung...
1 comments:
Sebelum lahirnya tokoh-tokoh psikologi dan kaunseling Barat dalam perkahwinan, seperti Adler, Minuchin, Satir dan sebagainya, Imam Al-Ghazali jauh beratus-ratus tahun lebih awal mengemukakan idea dan gagasan tentang pendidikan anak-anak. Rencana ini cukup bagus untuk menyedarkan kita mengenai hakikat itu. Saya tidak sabar untuk mengikuti bahagian seterusnya.
Post a Comment