SAJAK SIAPA AKU?
SIAPA AKU?
Waktu kecilku
Kuhampirimu
Hanya untuk pelukan
Dan kasih sayangmu
Tetapi yang kuterima Teddy Bear
sebagai gantimu
apabila kusedih, runsing dan keliru,
aku hampirimu lagi
untuk nasihat, kasih sayang,
air muka, kata-kata yang merdu,
aku hauskan pelukanmu,
aku ingin mendengar
kasih sayangmu
tetapi yang kuterima
permainan sebagai gantimu
hati kecilku sentiasa ingin tahu
apa tu yah? Apa tu bu?
mengapa tu yah? mengapa tu bu?
dunia inginku terokai
dunia inginku kenali
supaya aku kenal siapa aku
tetapi ayah penat
ibu pula sibuk dan tak tahu
bukan sudah ayah belikan permainan
apa lagi yang kaumahu?
masa yang singkat aku bersamamu
hanyalah di dalam kereta
untuk dihantar aku pulang
dari rumah jagaanku
itupun tidak selalu
kerana biasanya aku dikirim
atau dipajakkan
kepada orang yang bukan ayah ibu
ada masanya di dalam kereta
kupenat, kulesu bermain...
sepanjang hari
ibu, ayah juga bekerja
sepanjang hari
suasana dalam kereta
fana, sunyi dan sepi
tiada apa yang berbunyi,
akhirnya TV, video dan kartun
menjadi kawan karibku
menjadi penghibur hatiku
mententeram perasaanku
mengganti tempat ayah, ibu
sekarang aku telah dewasa
ibu ayah pula sudah tua
aku pula membawa ibu ayah dalam kereta
tiada satu yang aku cepat perkatakan
ibu ayah juga sunyi sepi sepi seperti biasa
hanya yang kutanya
apa ayah ibu nak makan
ke mana ayah ibu nak pergi
atau doktor mana
ibu ayah nak temui
aku terus leka dengan permainanku
sekarang merupakan keretaku
mobile telefonku atau kayu golfku
sementara ayah ibu
hanya sekarang
cuba mendampingiku
cuba beri kasih sayang padaku
tetapi aku tidak mengertinya
kerana itu bukan bahasaku
aku tidak memahaminya
KERANA BELUM MENGENAL
SIAPA AKU?
1 comments:
Sajak di atas amat menginsafkan buat ibu bapa yang terlalu sibuk bekerja hingga mengabaikan kasih sayang anak-anak. Sesibuk manapun kita, luangkan masa berkualiti untuk keluarga khasnya anak-anak kita.
Post a Comment