KE ARAH KAUNSELOR KOMPETEN (2) - PRA SESI
SALAM sejahtera. Terima kasih kepada pelayar blog khasnya pelajar-pelajar Kemahiran Kaunseling UPSI. Kali ini saya ingin membincangkan persediaan tentang persediaan pra sesi.
Apakah persediaan Pra Sesi?
Pra sesi bermaksud persediaan kaunselor sebelum menjalankan sesi kaunseling. Di sekolah sebenarnya ada beberapa jenis klien:
1. Klien yang dirujuk
2. Klien yang datang secara sukarela (walk in)
Klien yang dirujuk biasanya adalah klien yang mengalami masalah disiplin seperti ponteng sekolah, ponteng kelas, terlibat dalam salah laku lain seperti membuli, mencuri dan sebagainya. Klien ini ada kalanya bersifat 'reluctant' atau enggan berjumpa kaunselor, sebaliknya berjumpa hanya kerana dirujuk. Klien yang datang secara sukarela adalah klien yang sememangnya mencari kaunselor untuk berbincang tentang masalahnya seperti masalah kemerosotan dalam akademik, putus cinta, tidak seronok berada di sekolah, ingin berpindah sekolah (homesick) dan sebagainya.
Bagi kedua-dua jenis klien ini, untuk menjadikan anda kompeten, anda perlu merancang sesi agar sesi lebih berkesan.
Mengapa kita perlu merancang?
Perancangan penting agar kita lebih bersedia dengan sikap klien, diagnosis masalah yang dihadapi dan memungkinkan sesi yang dijalankan lebih berkesan.
Apakah yang perlu dirancang?
Jika klien yang ingin berjumpa anda adalah klien sukarela, memadai jika anda mendapatkan maklumat peribadi seperti nama, tarikh lahir, maklumat ibu bapa, kelas dan sebagainya. Namun untuk menjadikan sesi yang dijalankan berkesan, tidak ada salahnya jika anda mengkaji juga profil pelajar dalam sistem salah laku (SSDM), rekod kehadiran, dan sebagainya. Sekurang-kurangnya anda boleh merancang pemetaan sesi yang akan dijalankan kelak.
Jika klien yang ingin anda temui adalah klien rujukan, lakukan analisis dokumen mengenai pelajar secara lebih terperinci seperti melalui SSDM, jadual kedatangan pelajar, surat-surat berkaitan disiplin, laporan guru kelas, laporan guru mata pelajaran dan berbincang dengan guru disiplin. Analisis dokumen sebegini memudahkan anda lebih memahami masalah pelajar khasnya dari segi tingkah laku delinkuen yang dilakukan, kekerapan kes dan tingkah laku pelajar di kelas dan sebagainya.
Perancangan sesi sebegini akan memudahkan anda menjalankan sesi lebih berkesan apabila bersemuka dengan pelajar dan bersedia menangani isu-isu seperti keengganan pelajar bercakap dengan kaunselor, personaliti luar biasa dan sebagainya. Berikut adalah contoh-contoh dokumen yang perlu dianalisis.
BORANG SSDM (SISTEM REKOD SALAH LAKU)
BORANG SSM (SISTEM MAKLUMAT MURID)
0 comments:
Post a Comment