KAUNSELOR KOMPETEN (4) - KEMAHIRAN MENDENGAR
BARU-BARU ini cikgu mengendalikan kelas kemahiran kaunseling, dengan memfokus kepada aspek kemahiran mendengar, khasnya parafrasa dan refleksi. Bagi cikgu, pelajar-pelajar sebenarnya faham bukannya tak faham konsep parafrasa dan refleksi.
Cuma mungkin anda kurang jelas cara mempraktikkannya. Baiklah, mari kita menghayati dua perkara ini secara SANTAI.
PARAFRASA
Apakah parafrasa? Jika anda tengok dalam pelbagai buku, berbagai-bagai interpretasi yang sama arah tuju dinyatakan mengenai parafrasa. Namun cikgu tidak berminat membicarakan dari aspek akademik atau bahasa buku.
Parafrasa akan mudah difahami jika anda mengingati istilah POINT. Point bermaksud lebih kurang kata kunci. Pernah tak anda tengok kunci?
pernyataan kata dasar, menggunakan kata kunci, menyebut semula intipati kata-kata klien dan menyemak semula. Namun pokoknya tetap kata kunci iaitu kata kunci klien.
Perhatikan contoh berikut:
Klien : Lama dah saya menunggu-nunggu peluang hendak berjumpa dengan cikgu
Kaunselor : Dah lama...ya...
Dalam respons kaunselor di atas, jelas sekali kaunselor menggunakan kata kunci iaitu DAH LAMA dan memadai kaunselor menambah sedikit perkataan 'ya' atau memadai dengan memandang ke arah klien sambil mengangguk-angguk sedikit sebagai mendapatkan penjelasan.
Perhatikan pula contoh berikut dalam ayat klien yang lebih panjang:
Klien : Orang cakap masuk SBP ni bagus....sekolah terpilih, ada pula yang kata masuk SBP sama saja dengan sekolah harian. Sayapun tak tahulah...tak pasti sama ada kemasukan saya ke SBP ni betul-betul keputusan yang tepat...
Kaunselor : Farah rasa kurang pasti, hmm...?
Nampak tak? Sebenarnya bukan susah sangat hendak melakukan parafrasa. Ingatkan KATA KUNCI ayat yang dituturkan oleh klien. Kalau susah sangat, gambarkan saja KUNCI.
REFLEKSI
Refleksi satu lagi istilah yang kekadang memeningkan para pelajar. Sekali lagi cikgu tidak ingin mengulas panjang-panjang makna ilmiah refleksi yang boleh anda baca dalam buku dan modul kemahiran asas kaunseling. Cikgu ingin menyantaikan makna REFLEKSI kepada FAHAM
REFLEKSI = FAHAM
Refleksi yang berjaya melambangkan PEMAHAMAN makna kata-kata, perasaan, pengalaan klien.
REFLEKSI ISI -bererti anda menyatakan semula kata-kata klien dengan perkataan kaunselor sendiri MENUNJUKKAN ANDA FAHAM maksud klien.
Contoh:
Klien: Saya tak tahulah nak cakap apa lagi kepada rakan serumah saya. Kemaskan rumah dan jangan bersepah-sepah. Sayapun serba salah. Hendak dimarah selalu, dia merajuk, tak dimarah, rumah bersepah-sepah macam tongkang pecah.
Kaunselor: Puteri rasa serba-salah dengan sikap rakan serumah...ditegur salah, tak ditegurpun salah...semua yang dibuat jadi serba tak kena.
REFLEKSI PERASAAN:
Anda memberikan respons kepada EMOSI klien menunjukkan anda FAHAM emosinya.
Contoh:
Klien : Cubalah cikgu fikir, macam mana saya tak tension, minggu depan periksa akhir, tiba-tiba sahaja ibu bapa saya bergaduh, bertengkar setiap hari sampai pukul memukul. Bising dan hingar-bingar dibuatnya. Bengang betul saya....yalah kawan-kawan kata sabar. Tapi sabarpun ada hadnya....sampai masanya meletup juga.
Kaunselor: Nabila begitu marah nampaknya...
REFLEKSI PENGALAMAN:
Anda memberikan respons kepada ISI dan PERASAAN serta TINGKAH LAKU menunjukkan anda MEMAHAMI sebab akibat insiden dalam diri klien.
Contoh:
Klien: (sambil tersenyum pahit) Saya...huhh...tak sangka langsung Shasha terus tak menegur saya sejak saya menegur perbuatannya berpakaian ketat tempoh hari di hadapan Dr Amin.
Huhh...kesal pula saya menegur sikapnya dulu...
Kaunselor: Cikgu nampak Yasmin bagaikan tersenyum bercerita...tapi cikgu dapat rasakan sebenarnya Yasmin sedih dan kesal kerana menegur Shasa, sampai dia tak mahu menegur awak lagi...
Sekian dulu dan jangan lupa hantar tugasan yang saya beri dan REFLEKSI...jumpa lagi minggu hadapan.
0 comments:
Post a Comment