RENCANA KHAS MENJELANG HARI RAYA (1): AMALAN MEMBACA QURAN DI KUBUR
TELAH menjadi kelaziman bagi keluarga-keluarga Melayu/Islam menziarahi kubur, seterusnya beramai-ramai membaca Al-Quran atau setidak-tidaknya bacaan Yassin, menjelang Hari Raya Aidil Fitri.
Namun ramai yang terkeliru dengan hukum membaca Al-Quran di atas kubur, sebaliknya terikut-ikut dengan adat atau perkara yang telah menjadi kelaziman sejak turun-temurun.
Berdasarkan senario ini, krew Familiharmoni telah membuat penyelidikan dan mendapati amalan ini sebenarnya bukan berasaskan nas-nas yang kukuh. Menurut pandangan Dr Azwira Abdul Aziz, pensyarah Jabatan Pengajian Al-Quran dan As-Sunnah dan Mohd Khairil Anwar b Abd Latif, Pegawai Penyelidik Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Perlis dalam buku kecil edaran Jabatan Mufti Perlis berjudul Hukum Membaca Al-Quran di kubur, yang dipetik oleh blog www.mohdnazritakuan.blogspot.com, hadis yang menjadi sandaran pihak yang mengharuskan membaca Quran di kubur adalah lemah.
Antaranya hadis yang bermaksud:
"Barangsiapa menziarahi kubur kedua-dua orang tuanya atau salah seorang daripada mereka pada hari Juaat, lalu dia membacakan surah Yasin, maka dia akan diampuni dosanya dan dihitung sebagai kebaikan."
Dr Azwira dan Mohd Khairil menyatakan hadis ini palsu dan hal ini ditegaskan oleh para ulama hadis. Mereka menggariskan bahawa amalan menziarahi kubur diharuskan namun membaca Quran di atas kubur dianggap bidaah oleh jumhur ulama berasaskan hujah-hujah berikut:
1. Nabi Muhammad s.a.w. tidak pernah mengajar hal ini kepada para sahabat. Dalam sebuah hadis, baginda pernah mengajar Aisyah amalan yang perlu dilakukan apabila menziari kubur iaitu bermaksud:
"Sesungguhnya Tuhanmu memerintahkan kepadamu pergi ke kuburan Baqi' lalu pohonlah keampunan untuk mereka. Aisyah lalu bertanya kepada Nabi; Apakah yang perlu aku ucapkan? Nabi s.a.w. menjawab, ucapkanlah; salam sejahtera ke atas penghuni rumah ini (kubur) daripada kalangan mukminin dan muslimin, semoga Allah merahmati mereka yang telah mendahului kami dan yang terkemudian dan sesungguhnya kami insyallah akan menyusul sesudah kamu semua." (Hadis Riwayat Muslim).
Sekiranya disyariatkan membaca Al-Qur'an sudah tentulah Nabi s.a.w. mengajarkan hal ini kepada Aisyah dan para sahabat yang lain.
2. Pemahaman terhadap hadis Rasulullah s.a.w. Menurut Abu Hurairah r.a., Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud:
"Jangan kamu jadikan rumah-rumah kamu seperti kubur, sesungguhnya syaitan akan lari daripada rumah yang dibaca di dalamnya surah Al-Baqarah." (Hadis Riwayat Muslim). Sekiranya kubur merupakan tempat membaca Al-Quran sudah tentu perumpamaan ini tidak membawa makna apa-apa.
3. Hadis yang menganjurkan bacaan al-Quran di kubur adalah hadis dhaif (lemah) seperti sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Mubasyir daripada Abdul Rahman b al-A'la bin al-Lajlaj daripada bapanya:
"Bahawasanya dia (bapa) berwasiat apabila dia meninggal dan setelah ditanam agar dibacakan
di sisi kepalanya permulaan surah al-Baqarah dan penutupnya. Perawi hadis ini dikatakan oleh penulis buku tersebut sebagai golongan perawai yang majhul (tidak dikenali), justeru dianggap dhaif.
4. Tujuan menziarahi kubur, menurut sunnah Rasul adalah untuk mengambil iktibar daripada kematian seperti dalam hadis yang bermaksud:
"Aku dahulu melarang kamu menziarahi kubur. Sekarang ziarahilah kerana ia dapat melembutkan hati, mengalirkan air mata dan memperingatkan akan akhirat, dan jangan kamu berkata perkara yang tidak baik." (Hadis riwayat al0hakim dengan sanad yang hasan).
5. Larangan duduk di atas kubur.
Rasulullah malah dalam sebuah hadisnya melarang umatnya duduk di atas kubur, jadi bagi orang yang ingin membaca Quran sambil duduk, berhadapan dengan dosa lain pula, sebagaimana sabdanya yang bermaksud:
"Lebih baik seseorang di kalangan kamu duduk di atas bara api sehingga terbakar pakaiannya dan melecur kulitnya daripada duduk di atas kubur." (Hadis riwayat Muslim).
....bersambung.
0 comments:
Post a Comment