PETUA MENDIDIK ANAK: ANALISIS PANDANGAN DARIPADA PERSPEKTIF IMAM AL-GHAZALI DAN ADLER (BAHAGIAN 3)
Adler mengandaikan bahawa setiap orang manusia sentiasa bergerak untuk mencapai sesuatu matlamat dalam hidupnya dan secara tidak disedari mirip bagi menganalisis tingkah lakunya (Othman Mohamed, 1999). Walaubagaimanapun matlamat hidup dalam jangka panjang yang mempengaruhi gaya hidup seseorang berbeza dengan matlamat semerta yang mempnegaruhi kehidupan seharian (Bitter, 2009).
Menurut Zuria Mahmud dan Hasimah Ibrahim (2007), dalam teori Adlerian , ada 4 matlamat tingkah laku kanak-kanak yang salah iaitu dari sudut:
- Perhatian
- Kekuasaan
- Membalas dendam
- Ketidakmampuan
Menurut Bitter (2009), ibu bapa juga mempunyai matlamat yang salah iaitu:
- Hendak menunjukkan diri sebagai ibu bapa yang cukup sempurna (adequacy)
- Hendak menunjukkan diri sebagai ibu bapa yang mampu mengawal anak-anak
- Membalas dendam
- Hendak menunjukkan diri sebagai ibu bapa yang tidak cukup sempurna (inadequacy).
Matlamat salah anak berhubung kait dengan matlamat salah ibu bapa.
Kedua-duanya saling berkaitan dan bertindan balas.
Kedua-duanya saling berkaitan dan bertindan balas.
Ibu bapa yang menunjukkan tingkah laku yang salah untuk mencapai matlamat akan menyebabkan tingkah laku salah anak pula. Golongan ibu bapa yang pertama adalah yang hendak menunjukkan dirinya cukup sempurna sebagai ibu bapa. Mereka ini hendak dianggap sebagai ibu bapa yang baik, diterima oleh anak dan boleh mendampingi anak-anak. Tingkah laku mereka antara lain ialah banyak bercakap dengan anak-anak, mengawal secara keterlaluan tingkah anak-anak, sibuk mencari salah sianak, terlalu memanjakan anak-anak dan terlibat dalam pergaduhan anak-anak; misalnya asyik meleraikan mereka setiap kali mereka bergaduh.
Akibat kesilapan ibu bapa ini, sianak menunjukkan tingkah laku bermatlamatkan mendapatkan perhatian. Mereka menunjukkan sikap menunjuk-nunjuk, melawak bagi yang aktif destruktif. Kanak-kanak yang pasif destruktif pula bertindak balas terhadap sikap ibu bapanya dengan mempamerkan sikap pemalu, penakut dan pengotor. Tindakan ini akan menyebabkan ibu bapa bertindak balas pula dengan marah-marah, menunjukkan rasa kecewa dan membebel.
Sianak tadi mungkin akan berhenti buat beberapa ketika tetapi akan kembali kepada sikap buruknya. Tindakan anak ini akan menyebabkan ibu bapa menekan pula butang matlamat ke-2 iaitu menunjukkan dirinya berkuasa. Isyarat yang hendak ditunjukkan kepada anak-anak ialah dia mampu dan berkuasa untuk mengawal anak-anak dan menunjukkan mereka adalah boss. Tingkah laku ibu bapa di peringkat ini adalah seperti membebel, marah-marah, berhujah mempertahankan diri, menunjuk-nunjuk kusa, bergaduh/bertengkar dengan anak-anak dan mengawal mereka secara keterlaluan. Perasaan ibu bapa pada tahap ini sudah tentu marah, tercabar dan mula tergugat dari segi kuasa sebagai ibu bapa.
Tabiat ibu bapa sebegini tidak akan menyelesaikan masalah. Ini malah akan melahirkan anak-anak yang ingkar dan menunjukkan kuasa pula. Di peringkat aktif destruktif, anak-anak akan mempertikai, berbalah, dan bersikap panas baran terhadap ibu bapa. Bagi yang pasif pula, mempamerkan sikap malas, tak patuh dan degil. Apabila ditegur, mereka tidak mempedulikan malah terus melakukan kesalahan.
Selanjutnya, ini mengakibatkan ibu bapa menjadi pendendam. Mereka akan bersikap menunjuk kuasa dan membalas dendam, dengan menghina, memanggil anak dengan nama kasar, mendenda secara melampau-lampau seperti menggigit, menendang, memaki dan mendera. Ini diakibatkan oleh perasaan marah dan dendam membuak-buak seperti tertanya-tanya ’macamana budak ni boleh buat begini kepada saya?’
Anak-anak pula seterusnya akan respon dengan mengambil sikap terus berdendam. Bagi yang aktif destruktif, mereka mungkin melakukan keganasan, seperti mencuri dan menunjukkan tingkah laku langsang. Bagi yang pasif, mungkin mereka cuba menghalang secara diam-diam. Teguran ibu bapa tidak lagi dipedulikan di peringkat ini.
Paling malang apabila ibu bapa menunjukkan rasa ketidaksempurnaan sebagai orang dewasa terhadap anak-anak dengan mlepaskan tanggungjawab dan mengelakkan diri daripada bergelut dengan masalah anak-anak. Mereka mengelak daripada berinteraksi dengan anak, melepaskan tanggungjjawab dan lari daripada amanah sebagai ibu bapa. Ibu bapa sebegini sudah putus harap dan putus asa. Tindakan ini pula hanya akan melahirkan anak-anak yang berasa dirinya serba tidak mampu pula. Mereka akan terus bersikap malas, menunjukkan kebodohan dan enggan terus mencuba.
Bitter menjelaskan, menurut Adler, wujud hubung kait antara matlamat salah anak dan ibu bapa (Bitter, 2009).. Ibu bapa yang menggambarkan dirinya sebagai cukup sempurna dan melakukan tingkah laku yang berentetan dengan matlamat itu akan menyebabkan sianak menekan butang ”Inginkan Perhatian” iaitu matlamat kanak-kanak yang pertama dalam jadual di atas.
Tingkah laku kanak-kanak yang terhasil natijah matlamat Inginkan Perhatian akan menyebabkan siibu bapa mengamalkan pula matlamat salah kedua, iaitu hendak menunjukkan diri mampu mengawal anak-anak. Interaksi negatif ini seterusnya menatijahkan sianak menekan pula butang meraih kekuasaan, dan mengakibatkan siibu bapa menekan butang dendam dan begitulah seterusnya yang menyebabkan konflik dan masalah timbul dalam keluarga.
Berdasarkan pandangan Imam Al-Ghazali pula, ibu bapa sememangnya berperanan penting mendidik anak-anak sejak kecil dan tidak harus membiarkan dirinya bergelumang dalam keburukan (As Syaikh Muhammad Jamaluddin: 1988). Ini kerana ibu bapa bertanggungjawab di akhirat kelak jika membiarkan anak-anak mereka bergelumang dalam keburukan dan dosa sebagaimana maksud firman Allah dalam Surah At Tahrim, ayat 6.
Namun persamaan antara Al-Ghazali dalam As Syaikh Muhammad Jamaluddin (1988: 537 – 540), dengan Adler tertera dari segi mendidik anak-anak ini dalam beberapa aspek:
- Tidak wajar ibu bapa memalukan anak-anak di hadapan orang lain ketika memberikan teguran
- Tidak wajar ibu bapa terlalu banyak membuat kritikan (ini menyamai matlamat salah ibu bapa yang terlalu inginkan kesempurnaan)
Anak-anak yang kali pertama melakukan kesalahan diberikan kemaafan tetapi diberitahu secara senyap-senyap. Nasihat berterusan boleh dilakukan oleh ibu bapa, namun dibuat secara penuh beradab. Anak-anak boleh sahaja dibenarkan bermain agar terhibur hatinya (Adler juga menggalakkan perkembangan anak secara sihat/berdikari tanpa kongkongan ibu bapa)
Ibu bapa juga wajar menguatkuasakan larangan dari segi agama dan sebagainya sesudah anak itu mula berakal.
Ibu bapa juga wajar menguatkuasakan larangan dari segi agama dan sebagainya sesudah anak itu mula berakal.
Analisis dalam rencana ini sememangnya bukan analisis mendalam namun diharap ini menjadi salah satu detik permulaan dan sebahagian sumbangan kecil perbandingan teori Barat dan Islam.
0 comments:
Post a Comment