DUHAI AYAH….ADAKAH KAU MENJADI PENDENGAR YANG BAIK?
Oleh Esa Abd Samad
STEPHEN R COVEY (1989) dalam bukunya, Seven Habits of Highly Effective People, menyatakan bahawa antara ciri seorang ayah yang baik ialah menjadi seorang pendengar setia terhadap rintihan anaknya dan bukan sekadar memberi nasihat dan leteran.
Akan tetapi tahukah anda apakah sebenarnya ciri-ciri seorang pendengar yang baik? Ramai orang menyangka dia menjadi pendengar yang baik hanya kerana dia menunjukkan yang dia mendengar setiap inci kata-kata yang diucapkan oleh orang yang sedang bercakap dengannya. Aksara tulisan Cina yang memberi maksud mendengar, iaitu Ting, mengandungi 6 ideograf berbeza yang mewakili telinga, raja, 10 mata dan sekeping hati.
Maknanya, sebelum anda menggunakan telinga anda, anda harus mendengar dengan hati, perhatikan dengan teliti aspek komunikasi bukan lisan dan layani pendengar seperti raja. Perhatikan 10 mata yang menunjukkan betapa pentingnya tentangan mata (eye contact) dalam mendengar.
Bagaimana cara kita “mendengar” anak-anak kita?
1. Dengar masuk telinga kiri, keluar telinga kanan
Orang yang mendengar dengan cara ini biasanya melayan pemikiran, masalah dan khayalannya, ketika mendengar anaknya bercakap. Ketika anaknya sedang bercakap, dia tidak sabar untuk menunggu gilirannya bercakap. Perhatiannya kerap kali terganggu dan dia sekadar mendengar secara selamba; sekadar masuk telinga kiri keluar telinga kanan.
Contohnya, seorang anak bernama Mira, baru balik dari sekolah lalu mengadu tentang masalahnya seperti berikut:
Mira : Ayah…tadi kan ayah, kat sekolah kan….Shazwan kacau kita lagi…
Ayah : Kacau…..kacau amende pula? (Sambil menatap akhbar tanpa memandang ke arah Mira)
Mira : Yelah ayah…dia usik Mira, pegang tangan Mira…lepas tu kan ayah…
Ayah : Alah…agaknya Mira yang tergedik-gedik sangat!
Mira : Takdalah ayah…Mira tak kacau diapun…(mula hendak menangis bila siayah semakin
tidak menghiraukannya)..Mira cuma….
Ayah : Dahlah Mira…menangis aje kerja kau. Pergi ambillkan ayah air!
Kata Nabil, Lu fikirlah sendiri! Cuba fikirkan apa agaknya perasaan anak anda jika anda menjadi pendengar yang sebegini?
2. Pendengar Literal
Pendengar literal pula memberikan perhatian sepenuhnya terhadap ayat-ayat yang disampaikan oleh penyampai. Dengan mendengar sepenuhnya kata-kata penyampai, ia berpandangan bahawa dia sudahpun memahami maksud sipenyampai. Dari satu segi, mungkin benar pendengar literal ini mempunyai ciri-ciri pendengar yang baik; memberikan perhatian terhadap penyampai. Namun dia mungkin terlupa bahawa MAKNA yang ingin disampaikan oleh penyampai lebih penting daripada sekadar kata-kata. Pendengar literal selalunya melupai aspek emosi dan perasaan.
Contohnya dalam dialog berikut:
Danial : Ayah, Danial malaslah hendak pergi ke sekolah… (sambil menekan-nekan perutnya
dan menggosok-gosok jarinya).
Ayah : Hmm…yeke…Danial malas ya…
Danial : Ha..ah ayah. Danial tak sukalah pergi ke sekolah. Danial nak duduk rumah aje hari ini
boleh tak ayah…bolehlah!! (Danial menunjukkan reaksi gembira sambil tersenyum-
senyum kambing. Dia tidak lagi menekan-nekan perutnya dan memulas-mulas jari).
Ayah : Oklah Danial..kalau Danial tak ada mood, tak apalah. Tak payahlah ke sekolah….
Aduhai! Baiknya siayah ini! Inilah akibatnya jika hanya menjadi pendengar literal. Dia gagal menyelami emosi sianak. Sianak mungkin takut pergi ke sekolah disebabkan kena buli, sakit perut, takutkan guru atau sengaja malas!
3. Pendengar Empatik
Inilah ciri-ciri pendengar terbaik. Pendengar empatik memfokuskan kepada mesej yang lengkap; kandungan mesej dan emosi yang terselindung, mesej bukan lisan dan makna yang tersirat. Pendengar empatik bersikap neutral dan tidak menghukum, mengkritik dan menilai sejak awal-awal lagi. Dia melibatkan diri sepenuhnya dan cuba berusaha memahami sudut pandangan orang yang sedang bercakap. Dia juga bersikap responsif dan memberikan maklum balas, galakan bercakap kepada orang yang sedang bercakap. Pendengaran empatik menuntut kesabaran, ketulenan terhadap orang lain dan sudah tentu, tenaga yang banyak.
Contoh:
Izzah : Ayah, hari Sabtu nanti jadi tak ayah nak bawa Izzah dan adik-adik pergi ke Zoo
Negara?
Ayah : Hmm…tak jadilah. Ayah ada kerja, sayang.
Izzah : Alah ayah ni…..selalu macam tu. Mungkir janji.
Ayah : Hmm…Izah macam marah je kat ayah?
Izzah : Iyelah…marahlah…ayah selalu mungkir janji. Izzah tension tau dengan ayah….
Ayah : Tension? Tension macamana tu, sayang…cuba cerita sikit…
Izzah : Iyelah…ayah cakap dulu nak bawa Izzah dan adik-adik, dengan ummi sekali pergi ke
zoo…tapi ini ayah cakap lain pula (sambil menitiskan air mata).
Ayah : (Terus memeluk erat anaknya)….Hmm…ayah faham…Izzah sedih sebab ayah mungkir
janji. Sayang, ayahpun sedih sangat tak dapat bawa Izzah pergi ke zoo….tapi nak buat
macamana…ayah dapat arahan bekerja hari itu. Ingat tak, ayah cakap. Ayah pergi
kerja nak cari duit, nak jadikan Izzah, adik-adik dan ummi bahagia, seronok. Ok…lepas
saja ayah balik kerja sabtu nanti, ayah terus ajelah bawa satu keluarga pergi ke Zoo
Taiping..tengok safari…best tau tengok zoo malam-malam…(sambil mengusap rambut
sianak dan memandang ke arah mukanya).
Bagaimana agaknya perasaan sianak? Sudah tentu seronok!
David Goldwich (2008) memberikan beberapa tips supaya kita menjadi pendengar empatik:
1. Tentangan mata : Wujudkan hubungan mata, atau tentangan mata. Dengan memandang ke arah orang yang sedang bercakap, kita memberikan mesej bahawa kita MEMBERIKAN PERHATIAN. Kalau anak anda bercakap, dan anda terus membaca akhbar atau memasak, sudah tentu dia bosan untuk terus bercakap dengan anda.
2. Elakkan memotong cakap. Fokus dalam-dalam dan dengar dulu sepenuhnya apa yang ingin disampaikan oleh anak anda.
3. Tunjukkan ekspresi wajah yang bersesuaian. Jika anak anda bercerita dalam keadaan gembira, tunjukkan wajah yang ceria, senyum agar dia tahu bahawa anda seronok mendengar dia bercerita. Jika anak anda bercerita tentang episod-episod sedih, tunjukkan wajah sedih; tetapi jika dia menangis, janganlah anda menangis lebih daripada anak anda!
4. Tunjukkan minat terhadap keperluan sianak. Manusia inginkan perhatian, kasih sayang dan penghargaan. Berikan seikhlas mungkin perhatian, kasih sayang dan penghargaan. Anggukan, senyuman, usapan, pelukan adalah contoh komunikasi bukan lisan yang lebih bermakna daripada 1000 kata-kata bagi menunjukkan perhatian anda.
5. Jangan tukar topik perbualan. Ini akan membantutkan perbualan anak anda.
6. Tanyalah soalan untuk mendapatkan penjelasan, memahami situasi yang dihadapi anak anda.
7. Hadkan soalan. Janganlah pula tanya terlalu banyak soalan macam polis sedang menyoal siasat pula.
8. Berikan galakan; misalnya galakan minima seperti, hmm..hmm, ok..ayah dengar….dan sebagainya yang menunjukkan anda melayani anak anda.
9. Parafrasa dan meringkaskan; Ulangi balik kata-kata anak anda dalam ayat anda sendiri, rumuskannya untuk menunjukkan anda sedang memahami apa yang ingin disampaikannya.
10. Bersikap terbuka; selami sudut pandangan anak anda, biarpun anda tidak bersetuju.
11. Bersikap objektif; elakkan daripada menghukum, menilai, mengkritik atau membuat kesimpulan awal.
12. Baca komunikasi bukan lisan; bahasa tubuh badan; Misalnya ekspresi wajah, mimik muka, gaya tangan dan sebagainya.
13. Empati. Berikan refleksi terhadap perasaan anak anda, biarpun anda tidak bersetuju dengan apa yang diperkatakan. Tugas anda adalah mendengar dan memahami, bukan membina pendapat.
Rujukan:
Stephen R. Covey. 1989. Seven Habits of Highly Effective People. Kuala Lumpur: Prentice Hall.
David Goldwich. 2008. Listen Very Carefully, Star Metro, 28 July, 2008.
0 comments:
Post a Comment