Saturday, September 6, 2008

AGAMA DAN RELEVANNYA DALAM KEMAHIRAN KEIBUBAPAAN:

Oleh: Esa Abd Samad



KITA sudah tentu sering membaca kajian dan pandangan ahli agama dan pakar motivasi Islam tentang relevannya agama dalam pendidikan anak-anak seperti yang diketengahkan oleh Dr Saedah Siraj, Dr Fadzilah Kamsah dan sebagainya. Namun kajian-kajian di negara barat juga menunjukkan kepentingan peribadi ibu bapa yang beragama dalam mendidik anak-anak. Misalnya Kajian yang dijalankan oleh W.Braford Wilcox, Profesor Sosiologi, Universiti Virginia, Amerika Syarikat pada tahun 2002 menunjukkan bahawa bapa yang kuat beragama lebih menyayangi anak-anak berbanding dengan yang kurang beragama.

Menurut W.Braford Wilcox (2002), kajiannya menunjukkan penganut setia agama Kristian Mazhab Protestant dan Katolik lebih banyak terlibat dengan anak-anak seperti berbincang, bermesra dan menyayangi mereka berbanding dengan yang kurang mengamalkan ajaran agama.

Kajian terdahulu menunjukkan bahawa bapa adalah sepenting ibu dalam mendidik dan membimbin anak-anak menghadapi cabaran di alam kanak-kanak dan remaja. Namun apakah yang membezakan sesetengah bapa dengan yang lain dari segi fokus mereka ke atas anak-anak? Penganut agama Kristian percaya bahawa keimanan seseorang bapa boleh memotivasikannya untuk sentiasa berada di samping anak-anak.

Kajian Wilcox mendapati bahawa bapa yang tinggal bersama anak-anak dalam usia 5 – 18 tahun dan terlibat dalam Kajian Nasional Keluarga dan Isi rumah pada tahun 1987 – 88 dan 1992 – 94, membuktikan kepentingan unsur agama ini. Analisis kajiannya yang bertajuk, “Religion, Convention, and PaternalInvolvement,” yang terbit dalam Journal of Marriage and Family bulan Ogos 2002 berkisar kepada 3 ukuran penglibatan ibu bapa dan anak iaitu interaksi dua hala, makan malam keluarga dan kadar keterlibatan bapa dalam aktiviti berkaitan anak remaja mereka.

Dari segi interaksi dua hala, berkisar kepada soal selidik tentang sejauh mana bapa memperuntukkan masa bermain dengan anak-anak, berbincang dan membantu ketika sianak menyiapkan kerja rumah atau membaca. Ukuran kedua adalah dari segi makan malam. Sibapa ditanya sejauh mana mereka memperuntukkan masa dalam seminggu untuk makan malam bersama keluarga. Akhirnya, sibapa akan ditanya tentang keterlibatan mereka dengan aktiviti anak seperti aktiviti di sekolah, komuniti remaja, sukan dan keagamaan.

Peserta di kalangan bapa-bapa ini dibahagikan kepada 4 kumpulan. Pertama daripada kumpulan Protestant daripada gereja-gereja Southern Baptist, Assembly of God, Pentecostal, Missionary Alliance, Christian Reformed dan lain-lain. Kumpulan kedua dari kalangan bapa Protestant dari gereja Episcopal, Lutheran, Presbyterian, Methodist atau Congregational. Dua kumpulan lagi dari kalangan bapa beragama Katolik dan yang mengakui mereka kurang beragama.

Hasil kajian ini menunjukkan interaksi bapa dengan anak lebih kerap di kalangan bapa yang kuat beragman berbanding dengan bapa yang kurang beragama dan penganut biasa Protestant. Bapa yang beragma Katolik pula agak sederhana. Dari segi makan malam pula, golongan penganut totok Protestant memperuntukkan masa makan malam mereka 27 kali ganda berbanding bapa yang lain. Dari segi keterlibatan dengan aktiviti anak-anak juga, golongan penganut Protestant dan Katolik memperuntukkan masa yang lebih bersama anak malah menaja aktivit mereka berbanding yang lain.


Sally Gallagher, Penolong Profesor di Oregon State University bersetuju dengan kajian ini dan mengulas bahawa analisis Wilcox menunjukkan budaya beragama, kepercayaan terhadap agama di kalangan bapa akan menghasilkan perbezaan yang nyata dari segi keterlibatan diri sebagai bapa. Ahli sosiologi kini berminat untuk memahami betapa pentingnya kepercayaan agama ini dalam menjaga kerukunan perkahwinan dan keluarga.

Kesimpulannya, jelaslah pandangan Islam yang mendahului kajian barat melewati ribuan tahun menunjukkan relevannya sikap beragama ini dalam mendidik anak-anak.
Misalnya dalam sebuah sabda Rasulullah s.aw. yang bermaksud: “Muliakanlah anak-anak kamu dan perbaikilah adab-adab (percakapan dan perbuatan; akhlak) kamu (ibu bapa)”

Juga mutiara kata Amirul Mukminin Ali R.A. yang bermaksud: "Akhlak yang baik adalah bukti kukuh (seseorang itu adalah daripada) keluarga yang mulia.”

Malah Rasulullah juga menekankan psikologi keibubapaan menerusi sabdanya yang bermaksud:
“Anak-anak adalah tuan ketika umurnya 7 tahun, mereka adalah orang suruhan, ketika 7 tahun berikutnya, mereka adalah pembantu ketika 7 tahun berikutnya. Jadikanlah anak kamu sebagai pembantumu ketika umurnya 21 tahun sekiranya kamu mahu. Jika tidak, tepullah bahunya. Sesungguhnya ibu bapa telah memperbanyakkan keusuzan kepada Allah pada mereka.”

….bersambung.

Rujukan:
Saedah Siraj. 2007. Pendidikan Anak-anak. Sungai Buluh, Alam Pintar Enterprise
Wilcox, W. Bradford. 2002. Good Das: Faith Makes A Difference. Journal of Marriage and Family.
http://www.ncfr.org/pdf/press_releases/JMFAug2002PressRelease.pdf

0 comments:

Panduan Mendapatkan RM Pertama Anda di Internet.
Dapatkan Laporan Percuma Anda Di Sini

Ingin Bertanya?

Pertanyaan




Form View Counter
This Blog Is Created By
NazriTakuan @ CG Solution & Technology

  © Blogger template 'Greenery' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP