TANGGAL 27 DISEMBER 2011...usai sudah kerja-kerja menyiapkan Disertasi Master bertajuk Tingkah Laku Buli daripada Perspektif Teori Pilihan Choice Theory : Kajian Kes di Sekolah Berasrama Penuh...dan hari ini menghantarnya untuk penjilidan. Disertasi ini telah diterima oleh Senat UPSI yang bermesyuarat pada 25 Oktober 2011 setelah menghantarnya sebulan sebelum itu. Ironinya, sebulan sebelum mendapatkan kelulusan Penyelia dan Fakulti untuk menghantar tesis akhir kepada pihak IPS, UPSI, saya dikurniakan cahaya mata yang comel, Muhammad Fitri Putera pada 25 Ogos 2011..
Insyallah Jumaat ini, 30 Disember saya akan mengambil disertasi yang telah dijilidkan dan mula menghantarnya kepada pihak berkenaan bermula dengan pihak yang menaja saya, Bahagian Biasiswa, diikuti SBP, EPRD. Kemudian pada 3 Januari 2012 saya akan menghantar kepada Penyelia tesis, Dr Ahmad Jazimin dan memberikannya kepada penyelia, fakulti pendidikan dan pembangunan manusia UPSI kemudian kepada IPS dan Pusat Sumber UPSI. Usai berbuat demikian, saya hanya perlu menunggu hari untuk Konvokesyen Ijazah Sarjana Pendidikan insyallah bulan Mac 2012.
Sesungguhnya perit jerih, keringat yang mengalir, air mata yang tumpah dan kepayahan demi kepayahan dari segi material seperti wang ringgit, masa, pengorbanan isteri dan anak-anak dalam melahirkan disertasi ini hanya Allah yang tahu. Bukanlah mudah perjuangan saya dalam mendaki sampai ke peringkat ini; lulus dengan jayanya Sarjana Pendidikan.
BERMULA DARIPADA SEBUAH EPISOD KEGAGALAN; 2000 - 20004
Usaha untuk meraih ijazah Master bermula sejak tahun 1999 lagi. Ketika itu saya teraba-raba arah tuju dalam kehidupan apabila diminta menjawat Jawatan Guru Kaunseling sepenuh masa sejak tahun 1996 sedangkan diri ini tidak punya apa-apa ijazah dalam kaunseling. Ketika itu, Jabatan Pelajaran WP Kuala Lumpur bertindak melantik semua Guru Kaunseling sebagai Guru Kaunseling Sepenuh Masa tanpa mengira latar memandangkan kekurangan Guru Kaunseling. Sebelum itu, ketika posting sebagai guru pada 1995, saya bermula dengan keikhlasan menjadi Guru Pembantu Unit Kaunseling sekadar untuk menjalankan Program Kemahiran Belajar berdasarkan ilmu dan pengalaman yang saya timba daripada pakar kemahiran belajar seperti Dr Shukri Abdullah. Pada 1996, saya dilantik sebagai Ketua Unit Kaunseling lalu terlantiklah sebagai Guru Kaunseling Sepenuh Masa.
Asalnya saya sekadar ingin meraih diploma lepasan ijazah dalam kaunseling untuk melayakkan diri secara akademik dalam kaunseling. Namun Prof Madya Dr Sidek Mohd Noah, pensyarah kanan kaunseling UPM menggalakkan saya memohon ijazah master. Pada 1999 sayapun memohon dan alhamdulillah dapat ke UPM. Bermula dari tahun 2000 saya berjuang mendapatkan segulung ijazah master secara sambilan di UPM. Isteri tercinta mendorong saya membeli sebuah kereta bagi memudahkan perjuangan belajar. Pada awalnya saya menumpang kawan untuk menuntut ilmu di UPM. Memang sukar belajar sambil bekerja. Terpaksa melayan kehendak pensyarah di samping memenuhi tuntutan kerja. Terpaksa tidur sekali sekala di masjid UPM, kekadang diumpat, dicela dan difitnah rakan sekerja kerana kesibukan belajar.
Pada tahun 2002 saya hampir menamatkan pengajian dan tinggal 2 semester untuk dihabiskan iaitu menulis kajian ilmiah berstatus Project Paper di bawah seliaan Allahyarham Tn Haji Ali bin Ahmad. Kajian itu tentang Faktor yang mendorong pengambilan dadah kali pertama dan hubungannya dengan keibubapaan. Baru usai menyelesaikan proposal, belum sempat membuat kajian, penyelia jatuh sakit. Jenuh mendapatkan penyelia baru kerana ramai pensyarah tidak mahu ambil alih. Sudahlah saya bergelut dengan tugas di sekolah baru saya berpindah pada 2003, di SBPI Rawang, saya terpaksa bergelut dengan pencarian sendirian penyelia tesis. Akhirnya saya kecundang tanpa berjaya mendapat segulung ijazah master di UPM apabila ditamatkan pada 2004 kerana gagal menyiapkan Project Paper.
Saya berasa amat kecewa dengan kegagalan ini, Isteripun kecewa kerana dia paling banyak mendorong saya belajar. Pada tahun 2004-2005 saya kemudian difitnah oleh rakan sekerja sehingga menyebabkan saya disiasat oleh pihak Pejabat Pendidikan Daerah. Saya ditohmah menjadi kaunselor tanpa kelulusan rasmi. Tertekan dengan tujahan dan fitnah ini saya memohon untuk belajar kaunseling melalui Program KDP 14 Minggu di Institut Bahasa Melayu Malaysia (IBMM). Saya diterima belajar dan belajarlah saya selama 14 Minggu di IBMM pada tahun 2005 dan dikurniakan Sijil Bimbingan Sekolah Menengah. Layaklah saya menjadi Guru Kaunseling.
Pada tahun 2006, seorang profesor kaunseling, Prof Dr Mansor dari UTM mendorong saya untuk melanjutkan pelajaran dalam kaunseling. Ketika itu saya teruja malah didorong oleh tekanan kerja di sekolah apabila mendapat seorang Pengetua yang kurang sekali repsonsif terhadap keperluan asas pelajar dan 'kurang mesra' dengan kaunseling. Saya memohon biasiswa HLP KPM dan alhamdulillah Tuhan memberikan laluan untuk mendapat peluang belajar secara sepenuh masa, bergaji penuh dan berbiasiswa. Saya kemudian berjaya dalam temuduga pada tahun 2007, saat hati masih berduka ekoran kematian PK HEM yang amat disayangi pelajar dan guru. Kemudian saya mendapat tempat di UPSI.
Insyallah nanti saya sambung cerita tentang episod belajar di UPSI dari tahun 2007-2010 kemudian sebagai pelajar pasif (menghabiskan pembikinan tesis) dari 2010-2011.